Thursday, 18 August 2016

Bukan Berani Semulajadi...

Bukan berani semula jadi...
Bunyamin Mohd Yussof membuka bunga silat di atas pentas, di hadapan puluhan mata yang menonton. Bunga silat tanpa tunjuk ajar daripada sesiapa. Sekadar mendapat idea daripada video yang ditonton. Video di youtube dan video yang dihantar oleh seorang kawan, video anaknya bersilat di suatu majlis perkahwinan. Terima kasih pada rakan tersebut. Dia juga yang 'mengikat' bunga pada sampin Amin. Hendak tag namanya tetapi namanya tiada di muka buku. Bunga silat direka sendiri Amin, diaturnya setiap langkah agar pergerakannya memenuhi pentas pertandingan.
Amin bukan berani semula jadi. Semasa umur 5 tahun, cikgu-cikgu Taski Abim al-Hilal, Cikgu Linda Norazlinda, Cikgu Nurul Waheeda Zainal Abidindan Cikgu Asmah mahu Amin sertai Pertandingan Nasyid Jemputan di Giant Bercham, Ipoh bersama-sama murid 6 tahun. Amin sangat penakut dan pemalu untuk ke depan pada waktu itu. Amin menangis tiap kali berlatih. Cikgu-cikgu dan Ummi sendiri tidak berjaya pujuk Amin. Akhirnya, Amin tidak sertai pertandingan nasyid tersebut.
Tetapi tidak berhenti di situ sahaja... Ummi terus nasihatkan Amin. Rugi jika takut dan malu tidak bertempat. Ummi cakap umur 6 tahun, Amin tidak boleh lagi bersifat malu dan takut tidak bertempat. Ada masanya, Ummi tinggikan suara juga bila pujuk-pujuk tak berkesan. Amin budak pandai, lama-lama Amin boleh terima nasihat Ummi yang tak pernah putus.
Semasa umur 6 tahun, Amin sudah cukup berani. Terima kasih kepada cikgu-cikgu taski Amin (cikgu-cikgu yang sama mengajar Amin dari 4 hingga 6 tahun) yang memberi banyak peluang untuk Amin buktikan keberanian dan merasai besarnya kelebihan berani pada tempat yang betul. Amin berpeluang masuk pertandingan hafazan, tilawah dan bercerita.
Sekali berani, terus berani...
Alhamdulillah, Allah jua yang memberikan Amin keberanian tersebut. Terkini, pencapaian dari keberanian Amin ialah menang pengucapan awam tentang buruj di Kem Permata Insan pada Jun lalu.



No comments:

Post a Comment