Wednesday 16 December 2015

Mesej-mesej Comel Daripada Amin

Mesej-mesej ini Amin hantar kepada Ummi sepanjang Amin berada di Kem Permata Insan selama lebih kurang 14 hari. Tiada sedikitpun Amin mengadu masalah dan perkara yang mengganggu fikirannya kepada Ummi. Bagi Ummi, Amin anak kecil yang sangat berdikari, tabah dan matang. Abang Alif, puji Amin cekap uruskan diri. Amin tiada masalah untuk bangun pagi. Amin tidak buang masa untuk pergi makan atau ke surau. Amin boleh lakukannya sendiri jika kawan-kawan Amin lambat bersiap. Tetapi, Amin tetap mempunyai hubungan yang baik dengan kawan-kawan Amin kecuali seorang pelajar yang suka cari pasal dengan Amin. Dia di bawah jagaan fasi lain. Amin juga baik dengan kakak dan abang yang lebih senior.

Mesej-mesej Amin yang dihantar menggunakan telefon bimbit Abang Alif. Abang Alif memang baik dan langsung tidak berkira. Ummi rasa ralat sebab terlupa hendak berikan buah tangan untuk abang Alif tapi Ummi akan usahakan sesuatu nanti. In syaa Allah. Ummi berjanji (sebenarnya untuk memujuk Amin supaya bersemangat pergi ke sana semula bulan Jun tahun depan) akan belikan sebuah telefon bimbit sempena ulangtahun kelahiran Amin yang kelapan tahun nanti supaya Amin lebih mudah berhubung dengan Ummi.










Ini mesej yang Ummi minta Abang Alif sampaikan pada Amin setiap pagi. Ummi sangat-sangat berharap agar mesej ini dapat buat Amin lebih bersemangat dan lakukan yang terbaik. Alhamdulillah, Allah tunaikan hajat Ummi dan tidak hampakan harapan Ummi. Amin, sewajarnya kita mensyukuri anugerah yang telah kurniakan buat Amin dan keluarga kita. Alhamdulillah.





Bunyamin Di Permata Insan (Hari Terakhir dan Majlis Penutup)

14 Disember 2015, hari terakhir Amin di Kem Permata Insan, PLKN Mantin, Negeri Sembilan. Situasi sedih dan gembira bercampur-aduk pada hari tersebut. Sepanjang berhubung dengan Ummi dalam tempoh 13 hari berada di situ, tidak pernah Amin mengadu apa-apa. Tetapi pada hari ini, Amin menitiskan air mata dan mengatakan dia tidak mahu ke sini lagi pada tahun hadapan. Amin kata dia mahu bersama Ummi dan tidak mahu bersama kawan-kawan. Rupa-rupanya ada masalah yang terpendam dalam hatinya dan baru hari ini dia mahu melepaskannya. Ada seorang pelajar sebayanya di sana yang suka mengganggunya. Amin yang panas baran memang tidak suka diganggu. Amin kata pelajar tersebut kata Amin pandai dan mungkin ada sedikit perasaan iri hati alam dirinya menyebabkan dia mengganggu Amin. Ummi pujuk Amin agar tidak lemah dengan kejahatan orang. Sebaliknya, Amin perlu berusaha untuk tingkatkan lagi keupayaan diri dan mencapai kecemerlangan yang lebih lagi.

Apapun, Ummi bersyukur ke hadrat Illahi, dalam berdepan dengan keadaan yang tidak menyenangkannya itu, Amin berjaya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Tahap 1. Kakak Fasi memuji Amin menyerlah dalam semua bidang, Alhamdulillah. Amin hebat bermain  bola sepak juga. Amin juga menjadi Naib Johan Pertandingan Musabaqoh Tilawatul Quran bagi kategori Tahap 1.


Amin dapat 2 sijil penghargaan dan 1 trofi untuk 2 kejayaan yang Ummi nyatakan di atas.



Amin bersama-sama Abang Fasinya, Alif sebelum berpisah. Muka Amin masamnya sebab dia tak habis-habis fikirkan budak pembuli tu.




Amin dan kawan-kawan Tahap 1 yang lain menyanyikan lagu tema "Permata Insan".




Amin menerima sijil untuk Anugerah Pelajar Terbaik Tahap 1 daripada Dr. Nik Salida. Dapat hadiah pun, muka tetap masam. Huhu...






Amin menerima sijil dan trofi untuk Tempat Kedua Musabaqoh Tilawatul Quran Tahap 1.






Buku Rekod Prestasi Amin. Semuanya mencapai skala 2 dan ulasan Fasinya "Terbaik". Alhamdulillah. Ummi kena pastikan Amin habiskan hafazan surah As-Sajdah dan sambung pula dengan surah Al-Mulk untuk kem berikutnya pada bulan Jun 2016. In syaa Allah.











Bunyamin Di Permata Insan (Hari Ke 13)

Aktiviti explorace. Kalau tidak berjaya menyempurnakan tugasan yang diberikan di setiap check point, muka akan disapu tepung atau diconteng. Hihihi. Mesti seronokkan Amin aktiviti ini?












Thursday 10 December 2015

Bunyamin Di Permata Insan (Hari Kesepuluh)

Ummi rancang nak update aktiviti Amin di Permata Insan setiap hari. Tapi, nampaknya ada hari yang Ummi dah ter'skip' sebab tak dapat gambar daripada Abang Fasi Amin. Tak mengapalah... Ummi update je mana yang boleh.

Aktiviti talentime pagi ini. Bunyamin Mohd Yussof masuk dikir barat. Mesti best kalau dapat tengok. Amin dikir lagu apa agaknya...
Siapa lagi ada anak lelaki kecil yang mementingkan gaya macam ni? Kalau kat rumah, tidur malam pun, pakai jeans, tight in, kadang tu siap dengan belt dan stoking sekali.
Moto Amin pun boleh tahan...kacak, bergaya dan romantik..😅😅😅






Gambar-gambar di bawah ni pula, gambar persembahan kumpulan-kumpulan lain.




Aktiviti melukis berdasarkan imaginasi. Temanya Angkasalepas (Aerospace). . Apa agaknya ye yang Amin lukis? Amin memang suka melukis. Selalunya Amin lukis siap ada dialog lagi. Macam komik.





Ummi tanya perkembangan hafazan Amin pada Abang Fasi. Amin masih dalam usaha menghafaz ayat ke 12. huhuhu... Susah kot ye ayat ni. Semoga Allah melapangkan dada Amin, menerangi hati Amin dan mencerdaskan aqal Amin. Semoga Amin sentiasa cemerlang dalam apa yang Amin usahakan. Begitu juga dengan anak-anak Ummi yang lain. In syaa Allah. Aamiin yaa Allah.


Tuesday 8 December 2015

Bunyamin Di Permata Insan (Hari Ketujuh)

Hari ni Bunyamin Mohd Yussof ada lawatan ke Zoo Negara. Ada aktiviti explorace di sana nanti. Mesti Amin seronok. Insyaa Allah. Ummi doakan Amin dan semua ahli rombongan selamat sepanjang aktiviti... selamat sepanjang masa... di bawah perlindungan dari Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Memelihara. Aamiin yaa Allah. Semoga semuanya berasa seronok dan mendapat banyak manfaat daripada aktiviti ini. Insyaa Allah.

Antara aktiviti menarik Amin di Permata Insan. Amin bersama-sama abang Fasi, Alif dan kawan-kawannya. Mereka  semua di bawah jagaan abang ALif 24 jam sehari.









Aktiviti-aktiviti lain seperti latihan bola sepak dan hafazan surah berjalan macam biasa cuma Ummi tidak mendapat fotonya.

Amin gembira main bola petang ini. Nak tahu sebabnya? Baca mesej Amin kat bawah ni...