Aktiviti Pembelajaran Santai

Mainan model kayu ini Amin, Awisy dan Humaira dapat daripada Kak Yong. Ia dijual di Billion Megoplex, Ipoh. Harga bagi satu set (satu model) ialah Rm3.99. Bunyamin dapat model jet, Darwisy model helikopter manakala Humaira pula dapat model rama-rama. Pemasangan model ini memerlukan ketelitian, kesabaran dan sifat cermat agar ia dapat dipasang hingga siap dengan kemas dan lengkap (tiada bahagian komponen yang terpatah semasa pemasangan). Awisy memang minat mainan sebegini. Ummi ingat lagi Awisy bawa balik mainan ini lebih kurang pukul 11 malam. Awisy pulang lewat kerana ikut Abi tahlil di kem. Tiba je di rumah, Awisy terus buka bungkusan dan mula memasang. Melihatkan kesungguhan Awisy, Ummi terus tangkap beberapa keping gambar. Dalam tempoh yang tidak lama selepas itu, Awisy dengan gembiranya menunjukkan model yang telah dibina. Pada masa tu, Amin dan Yaya sudah lena dibuai mimpi.



Bunyamin dan Darwisy memang minat mainan yang melibatkan pemasangan berpandukan manual seperti set 'lego' RM2.00 dalam gambar di bawah ini. Ramai murid Tahun 2 yang tidak menguasai topik Asas Teknologi ini. Mereka tidak dapat mengenal pasti yang mana satu set binaan, manual, komponen dan model binaan. Set 'lego' RM2.00 ini sebenarnya sangat berguna dalam membantu anak-anak menguasai topik ini. Ibu bapa perlu memberi bimbingan dengan memberitahu anak-anak tentang istilah-istilah ini semasa aktiviti pemasangan dilakukan oleh anak-anak. Anak-anak berasa seronok dan pada masa yang sama mereka boleh belajar. 'Lego' ini dibeli dikedai menjual barang-barang RM2.00 di Silibin, Ipoh.

Bunyamin, Darwisy dan Humaira memang suka haiwan peliharaan. Haiwan yang pernah dibela ialah sepasang hamster, sepasang burung kecil dan sepasang arnab selain daripada ikan yang memang sentiasa mendiami akuarium dalam rumah. Kedua-dua hamster hilang tidak dapat dikesan kerana Darwisy tidak menutup pintu sangkar dengan betul selepas bermain dengan mereka. Burung pula, satu ekor terlepas dan seekor lagi mati disambar kucing dari luar sangkar. Selepas Awisy menunjukkan keberanian dalam Perujian Bakat Taski ABIM Kinta, Ummi menghadiahkan Awisy seekor arnab bagi melengkapi seekor arnab yang Abi dapat daripada kawannya. Sayangnya, arnab yang Ummi hadiahkan pun mati. Yang tinggal sekarang hanya seekor arnab yang Abi dapat itu sahaja.



No comments:

Post a Comment