Sunday 3 December 2017

Pesanan untuk Amin, Awisy, Yaya dan Aeman

Nasihat dan pesanan Ummi buat Bunyamin Mohd Yussof, Darwisy Mohd Yussof dan Humaira Mohd Yussof dalam kereta tadi (dan ada sedikit penambahan)...

Usaha sahaja tidak cukup untuk berjaya. Dalam mengejar kejayaan, banyak perkara yang perlu dijaga...
Iman, prinsip, akhlak, apa yang ada dalam hati, apa yang kita fikirkan, apa yang kita zahirkan... semuanya perlu dijaga.

1. Kita hamba. Kita tiada kuasa dan kehebatan. Kita bergantung pada pertolongan Allah sepenuhnya untuk berjaya. Lagi besar kejayaan yang ingin kita capai, lagi besar pertolongan Allah kita perlukan. Allah akan menguji kita. Didatangkan orang-orang meminta pertolongan kita sepanjang kita dalam proses menggapai kejayaan. Kalau kita menyantuni setiap permintaan itu dengan sedaya-upaya cuba menolong, Allah akan membalasinya dengan pertolongan yang jauh lebih hebat. Jika kita berkira, enggan menolong bahkan pula menolak dengan sikap yang angkuh dan ego, mana mungkin Allah akan menolong kita.

2. Macam yang Ummi cakap hari tu, buang niat untuk berlumba dengan orang lain dengan maksud dengan mengatasi orang lain secara khusus. Tak perlu niat, "Aku nak kalahkan si polan dalam exam nanti...". Ia akan mengotori hati. Niatlah untuk berusaha sebaik mungkin dan ingin capai kejayaan yang terbaik untuk diri sendiri.

3. Jangan ada rasa hasad dengki. Sebaik-baiknya, lihat rakam-rakan yang berjaya dengan penuh hikmah. Akui dan iktiraf dalam hati mana-mana usaha yang baik dan kejayaan hebat yang rakan-rakan kita buat. Ummi selalu juga kagum dengan usaha kawan-kawan sepengajian Ummi yang kreatif dan mantap. Dalam hati, memang tiada kata "Akulah yang terbaik... Akulah yang paling layak dapat pencapaian tertinggi...".
Sebaliknya, "Wah...siapa-siapapun layak untuk capai pencapaian tertinggi. Ramai yang hebat-hebat. Rezekikan aku untuk menjadi salah seorang daripadanya, yaa Allah".
Permintaan yang sederhana dengan rasa rendah diri lebih disukai Allah.

4. Buang sifat sombong, angkuh, berasa diri sendiri sahaja yang pandai dan terbaik sama ada dalam hati, melalui percakapan dan perbuatan atau dengan cara kita melayan orang lain. Ia seperti kanser yang akhirnya membunuh peluang-peluang untuk berjaya. Kita hamba. Akui kelemahan dan kekurangan diri. Jika ada tersalah, tersombong... terbelagak... dan apa-apa yang sesifat dengannya, cepat-cepat sedar, bertaubat dan sentiasalah berusaha untuk perbaiki diri.

5. Perkara-perkara yang perlu Bunyamin, Darwisy dan Humaira minta dalam sujud terakhir solat hajat selepas Solat Isyak:
i.  dijadikan hambaNya yang beriman, beramal soleh, berakhlak mulia dan mempunyai hikmah kebijaksanaan yang tinggi.
ii. direzekikan olehNya untuk menghafal al-Quran serta beramal dengannya dengan sebaik-baik amal yang Allah redhai.
iii. kejayaan yang besar-besar dan hebat-hebat dalam pengajian, kerjaya apabila dewasa kelak dan dalam kehidupan di dunia ini.
iv. Terpelihara daripada azab api neraka. Dimasukkan ke dalam syurga Firdaus untuk bersama-sama Rasulullah s.a.w di dalamnya.
*Ummi kena tambah...
v. Doakan kejayan dunia akhirat untuk Ummi dan Abi juga serta untuk insan-insan lain yang sepatutnya.
vi. Minta Allah ampuni segala dosa supaya sentiasa 'dalam keadaan bersih' disisiNya.

No comments:

Post a Comment